“Kehidupan
dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat
hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang
sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat
kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka
yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal
datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan
waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.
KEINGINAN UNTUK BERUBAH
Sememangnya sudah fitrah
manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan
seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang
yang digelar ‘setan’ itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik
dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan
hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan
dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya
hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam
surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
“Allah
(memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang
di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu
seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang
diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat,
minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api.
Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya
kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah
mengetahui setiap sesuatu.”
BERSYUKUR
Tatkala kita merasakan kumpulan
dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan
diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya
bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu
bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang
berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah
yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan
dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung
kepada Sang Pencipta.
Berbanding dengan mereka yang
berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan
tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari
Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan
pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja
yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita
seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan
yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk
berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah ‘belum sampai seru!’ alasan
tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang
bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita
diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati
kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita
untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika
nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak
diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?
HIDAYAH NALURI
Hidayah datang dalam pelbagai
bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini
adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia
sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya
inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah
melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu
perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah
atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal
fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir
secara rasional sebelum bertindak.
HIDAYAH AGAMA
Seterusnya ialah hidayah agama.
Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang
teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita
melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan
antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.
HIDAYAH TAUFIK
Yang terakhir ialah hidayah
taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada
hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana
nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan
kita di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam
dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi,
pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui
Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah
taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa.
Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana
firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,
“Sesungguhnya
engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang
engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia
kehendaki.”
Adapun ciri-ciri orang yang
sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu
dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa
memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain
mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau
sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga
terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah
pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah
pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia
datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita
benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. In shaa Allah, kita pasti
akan diberikan hidayah.
No comments:
Post a Comment