Pages

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Friday 27 December 2013

Thursday 28 November 2013


Thursday 21 November 2013

PERKARA2 SUNAT HARI JUMAAT

1) Mandi sunat jumaat = Bagi kita di Malaysia dan penduduk negara lain yang mempunyai cuaca serupa, mandi ialah suatu rutin hidup. Namun, mandi boleh menjadi amal soleh jika kita meniatkannya semata-mata kerana Alah s.w.t. Contohnya ialah mandi pada hari Jumaat dengan maksud mematuhi galakan Rasulullah s.a.w. ( Dari Ibnu Umar ra ), Sabda baginda SAW yang bermaksud, "Apabila datang kepada kamu hari Jumaat, maka mandilah." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


2) Menghias dan Pakai Wangi²an = Menghias diri, memakai pakaian yang baik dan memakai wangi-wangian pada hari tersebut Hari Jumaat umpama hari raya untuk minggu tersebut. Justeru, kita disunatkan menghias diri dengan kadar yang dibenarkan oleh syarak dengan memakai pakaian yang baik dan berwangi-wangian. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi untuk menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang telah ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Hakim) Sekiranya kita mampu pakailah baju berwarna putih pada hari Jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih. Sesungguhnya ia adalah pakaian kamu yang paling baik dan kafankanlah orang-orang yang telah meninggal dunia di kalangan kamu dengannya." 


3) Memotong Kuku = Islam amat mementingkan kebersihan dan kekemasan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Lima perkara daripada fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Persoalan kebersihan hendaklah diberi perhatian pada sepanjang masa terutama pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut kita akan pergi beramai-ramai ke masjid dan berjumpa dengan saudara seagama. Sudah tentu kita tidak mahu dipandang hina oleh orang lain hanya kerana kita tidak mahu menjaga kebersihan dan kekemasan diri.


4) Membaca Surah al-Kahfi = Sunat membaca Surah al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antara kedua-dua Jumaat berkenaan." (Riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi). Sabda Rasulullah s.a.w lain yang bermaksud, "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya dia akan dikurniakan cahaya di antaranya dan Baitul `Atiq." (Riwayat Al-Baihaqi)


5) Memperbanyak Doa = Doa adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. Kita mempunyai ramai musuh sama ada di dalam atau luar diri kita, di samping berhadapan dengan banyak cabaran sepanjang hidup kita. Sehubungan itu, kita amat mengharapkan pertolongan dan rahmat daripada Allah s.w.t untuk menghadapi segala ujian ini. Antaranya dengan cara berdoa. Kita digalakkan untuk banyak berdoa, apatah lagi pada malam dan hari Jumaat terutama sekali semasa waktu-waktu mustajab berdoa. Di antara hadis Rasulullah s.a.w mengenai perkara ini ialah Sabda baginda yang bermaksud, "Waktu mustajab berdoa itu ialah masa di antara imam duduk sehingga selesai solat." (Riwayat Muslim).


6) Berselawat = Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w Pada hari Jumaat, kita juga disunatkan supaya banyak berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sabda baginda yang bermaksud, "Sesungguhnya hari kamu yang paling utama ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan di hadapanku.

Ya Allah..Berikanlah kami kekuatan untuk mengharungi mehnah dari Mu dengan penuh kesabaran dan ketakwaan... WALLAHUA'LAM..

Friday 15 November 2013


AJAIBNYA SELAWAT

Apakah pentingnya selawat? Kenapa semua orang berselawat? Besar sangatkah selawat itu? Mari kita sama-sama selidik kebesaran selawat ini. Tak seronoklah berselawat bila kita tak tahu kelebihan-kelebihan selawat. Oleh itu, pagi ini kita akan membincangkan tentang keajaiban selawat.

1. Sabda Rasullah SAW: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda – (Hadis Riwayat Muslim.)

2. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.

3. Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

4. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

5. Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

 6. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

7. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

8. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

9. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki dan sebagainya dalam dirinya.

10. Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, insya-Allah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

11. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

12. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran. 

13. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.

14. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

15. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu
 membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

21. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

22. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insya-Allah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

23. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

24. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.
25. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya-Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan haja
tnya.
  
27. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.


28. Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.


29. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Hadis Riwayat Abu Naim.

30. Sabda Nabii SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat – Hadis Riwayat Thabrani

Demikianlah betapa banyaknya ganjaran bagi orang-orang yang berselawat. Oleh itu, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kita tergolong dalam orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat, insya-Allah.

Wallahu a’lam.

Orang alim itu pilihan Allah S.W.T..:-)


ORANG ALIM ITU PILIHAN ALLAH 

Daripada Abu Hurairah Radhiallahuanhu; beliau berkata, telah bersabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan padanya, maka sudah tentu Allah menjadikannya seorang yang mengerti berkaitan hal-hal agama.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan:

Orang yang alim dalam ilmu agama ialah orang yang dipilih oleh Allah Subhanahu wataala, maka hidupnya akan dikelilingi dengan segala kebaikan. Hal demikian itu kerana orang yang memahami ilmu agama itu ialah orang yang mengerti akan kehendak-Nya dan peraturan-Nya serta hukum-hakam-Nya. Lalu dia akan mampu melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wataala serta menjauhi segala larangan-Nya. Itulah makna “Takwa” yang dituntut daripada setiap Muslim.

(Sumber: 40 Hadis kelebihan ilmu dan ulama, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)

kelebihan orang yang mempelajari Al-Quran

KELEBIHAN ORANG YANG MEMPELAJARI AL QUR’AN

 Daripada Ali bin Abi Talib Karamallahuwajhah; beliau berkata, telah bersabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al Qur’an dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Riwayat Bukhari dan Tirmizi) Keterangan : Al Qur’an adalah kalam Allah Subhanahu wataala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam untuk menjadi sumber ilmu yang tidak ada keraguan lagi padanya. Al Qur’an diturunkan untuk menjadi pedoman bagi manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Segala undang-undangnya adalah benar, dan sesuai dalam mengatur urusan kehidupan manusia sepanjang zaman. Al Qur’an ialah kitab yang penuh dengan hikmah dan pengajaran, yang telah dijanjikan oleh Allah  Subhanahu wataala bahawa ia akan dipelihara daripada diubah, ditambah atau dikurang. Oleh itu, segala sesuatu yang berkaitan dengan al Qur’an akan menjadi mulia dan berharga. Mulai daripada membacanya, menghafalnya, mendalami isi dan kandungannya, mengajarkannya kepada orang lain dan sebagainya. Sesiapa yang belajar atau mengajar al Qur’an bererti dia telah melaksanakan sesuatu tugas yang sangat mulia dan sangat tinggi darjatnya serta sangat banyak pahala di sisi Allah  Subhanahu wata'ala.  

 

(Sumber: 40 Hadis kelebihan ilmu dan ulama, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)

Wednesday 13 November 2013


“Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.

KEINGINAN UNTUK BERUBAH
Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar ‘setan’ itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,
“Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu.”
BERSYUKUR
Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.

Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah ‘belum sampai seru!’ alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?
HIDAYAH NALURI
Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.
HIDAYAH AGAMA
Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.
HIDAYAH TAUFIK
Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,
“Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.”
Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. In shaa Allah, kita pasti akan diberikan hidayah.